Ujian Pap Smear Bagi Mencegah Kanser Rahim Hanya 5 Minit Sahaja!

Apakah itu pap smear?

Pap smear adalah sejenis saringan untuk memeriksa sel-sel di pangkal Rahim (serviks) kita. 

Ia dilakukan bagi mengesan kehadiran sel-sel pra-kanser atau sel-sel kanser di serviks. Semasa prosedur ini, sel-sel dari pangkal serviks akan diambil dan diperiksa untuk sebarang pertumbuhan tidak normal.

Pap smear WAJIB di lakukan oleh semua wanita  apabila mereka sudah mula membuat hubungan intim (sexual intercourse).

 

Punca-punca kanser serviks

Majoriti kanser serviks (90%) disebabkan oleh virus HPV (human papilloma virus) iaitu HPV ini disebarkan terutamanya melalui hubungan intim. Malahan virus ini boleh disebarkan berulang kali antara suami isteri.

 

Adakah Prosedur ujian Pap Smear menyakitkan?

Proses melakukan pap smear adalah tidak menyakitkan kerana sampel yang diambil adalah dari permukaan serviks sahaja dan hanya mengambil masa 5 minit sahaja. Sesetengah pesakit mungkin berasa tidak selesa apabila alatan yang digunakan iaitu speculum (sejenis alatan berbentuk muncung itik) dimasukkan ke dalam faraj untuk melihat serviks.

 

Vaksin HPV sudah cukup bagi mengelakkan kanser serviks?

Walaupun anda telah mendapatkan suntikan vaksin terlebih dahulu, ujian pap smear juga perlu dilakukan. Ini kerana vaksin diberikan kepada mereka yang belum mempunyai antibodi terhadap HPV serta ia tidak dapat memberi 100% perlindungan daripada semua jenis HPV strains.

Selain mempunyai lebih daripada 100 jenis virus, sekurang-kurangnya 14 jenis dari HPV ini dikategorikan sebagai berisiko tinggi atau ‘high risk type’ yang boleh menyebabkan kanser serviks malah turut dikaitkan dengan kanser faraj, zakar, tekak dan dubur.

 

Masa yang tepat untuk mendapatkan vaksin HPV

Kanak-kanak perempuan berumur 9-14 tahun dan mereka yang masih belum melakukan hubungan intim kerana keberkesanan vaksinasi berkurangan kepada mereka yang sudah mula melakukan hubungan intim kerana ia berkemungkinan telah dijangkiti virus HPV.

 

Simptom-simptom yang menunjukkan anda mengalami masalah serviks.

  • Pendarahan selepas putus haid (post-menopause)
  • Discaj dari faraj
  • Discaj yang berbau                                                     

 

Berapa kerap perlu jalani ujian pap smear?

  • Bagi mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun, anda tidak perlu membuat pap smear kecuali mereka yang berisiko tinggi (positif HIV, pelacur, mereka yang kerap bertukar pasangan intim)
  • Bagi mereka yang berumur 21-50 tahun, pap smear perlu dibuat setiap 3 tahun sekali
  • Manakala bagi mereka yang berumur 50-65 tahun, pap smear dilakukan sebanyak 5 tahun sekali sudah memadai

Sekiranya keputusan pap smear adalah tidak normal, rawatan dan kekerapan pap smear adalah mengikut garis panduan yang diberikan oleh doktor ginekologi.

 

Tips:

  • Apabila anda melakukan ujian pap smear, letakkan punggung diatas katil dan tidak digalakkan untuk mengangkat tulang pinggul untuk mengelakkan ketidakselesaaan ketika prosedur dijalankan.