TRIGGER FINGER, Adakah Ia Boleh Dirawat

Sukar dan berasa sakit ketika meluruskan jari? 

Jika anda pernah mengalaminya kemungkinan anda mengalami satu keadaan yang dipanggil ‘trigger finger’. 

Apakah itu ‘Trigger finger’?

satu keadaan di mana pesakit akan mengalami kesakitan, kekejangan dan sensasi terkunci (locking or catching) ketika membengkokkan dan meluruskan jari tangan. Dari segi perubatan, keadaan ini juga dikenali sebagai ‘stenosing tenosynovitis’. Jari yang kerapkali terlibat dengan keadaan ini adalah jari manis dan ibu jari. Walau bagaimanapun, ia juga boleh berlaku pada mana-mana jari yang lain. Keadaan ini berlaku disebabkan terdapat pembentukan nodul pada tendon fleksor menyebabkan ia tersangkut pada A1 Pulley dan akan menyukarkan jari untuk diluruskan. 

Apakah tanda-tanda seseorang itu mengalami ‘trigger finger’?

  • Terdapat pembentukan nodul atau benjolan di pangkal jari pada bahagian tapak tangan dan ianya sakit apabila ditekan
  • Sensasi terkunci (‘catching, popping or locking’) ketika menggerakkan jari berkenaan
  • Sakit pada bahagian pangkal jari ketika hendak meluruskannya dan sekiranya dibiarkan, jari yang berkenaan akan berada dalam keadaan membengkok dan tidak dapat diluruskan lagi. 

Disebabkan keadaan ini, pesakit akan mengalami kesukaran dalam melakukan aktiviti yang banyak menggunakan tangan. Pekerjaan mereka mungkin terganggu dan mereka akan mengalami kesakitan yang berpanjangan sekiranya tidak dirawat dengan sempurna.

Rawatan untuk kes ‘trigger finger’ ini boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu:

  • Rawatan Fsioterapi
  • Suntikan ‘corticosteroid’ 
  • Pembedahan

Rawatan fisioterapi adalah seperti pemakaian ‘splint’ yang akan memastikan jari berada dalam keadaan lurus boleh membantu mengurangkan sakit terutama ketika tidur serta senaman regangan pada jari yang berkenaan boleh membantu mengurang kekakuan sendi dan melancarkan pergerakan jari berkenaan. Jari berkenaan juga perlu direhatkan dari melakukan kerja berat dan ubat-ubatan seperti anti-radang boleh membantu mengurangkan kesakitan dan mengurangkan keradangan pada tendon tersebut.

Suntikan steroid pada bahagian pangkal jari yang mengalami ‘trigger finger’ juga merupakan satu alternatif yang boleh digunakan. Namun kesannya adalah berbeza-beza bagi individu yang berbeza. Suntikan ini diberikan sekiranya rawatan secara fisioterapi sahaja tidak menunjukkan kesan yang positif. 

Sekiranya rawatan diatas masih tidak berkesan, maka rawatan pembedahan akan disyorkan. Prosedur yang dilakukan adalah dipanggil ‘trigger finger release’ di mana ‘A1 pulley’ yang menyekat pergerakan tendon fleksor dan menyukarkan jari diluruskan akan dipotong. Prosedur ini dilakukan dengan bius setempat dan boleh dilakukan secara rawatan harian tanpa perlu kemasukan ke wad.

Bolehkah ianya dirawat?

Ya! Trigger finger adalah satu keadaan yang boleh dirawat dan pesakit tidak perlu menanggung kesengsaraan untuk tempoh yang lama. 

Punca-punca berlakunya Trigger finger?

Penyebab sebenar berlakunya keadaan ini adalah tidak diketahui namun ianya dikaitkan dengan beberapa faktor risiko seperti:

  • Penyakit sedia ada seperti kencing manis (‘diabetes’) dan ‘rheumatoid arthritis’ dimana telah mecatatkan jumlah kes yang tinggi untuk ‘trigger finger’ 
  • Penggunaan tangan yang lasak dalam aktiviti seharian juga dikenalpasti sebagai faktor risiko. 

Info:

Sekiranya anda mempunyai faktor-faktor risiko seperti yang telah dinyatakan dan bergejala, anda haruslah segera berjumpa dengan Pakar Ortopedik pada peringkat yang lebih awal sebelum keadaan menjadi bertambah teruk.