Kecederaan Ligamen (Anterior Cruciate Ligament)
Lutut merupakan sendi terpenting dalam tubuh badan manusia. Sendi lutut terbentuk daripada artikulasi tulang femur, patella dan tibia. Sendi lutut ini diseliputi oleh kapsul dan distabilkan oleh beberapa ligamen yang penting iaitu ‘anterior cruciate ligament’ (ACL), ‘posterior cruciate ligament’ (PCL), ‘medial collateral ligament’ (MCL) dan ‘lateral collateral ligament’ (LCL).
Apakah itu Ligamen ACL?
Ligamen ACL merupakan ligamen yang seringkali tercedera ketika bersukan terutama sukan bolasepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, tenis, bola tampar, hoki dan lain-lain yang seumpamanya. Mereka yang mengalami kecederaan ACL ketika bersukan kebiasaannya tidak akan dapat meneruskan permainan kerana lutut mereka menjadi tidak stabil. Sekiranya tidak dirawat mereka tidak dapat lagi meneruskan aktiviti seperti sebelumnya.
Tanda-tanda mengalami kecederaan ligamen ACL?
- Lutut akan menjadi sakit dan bengkak
- Sendi lutut mereka juga akan menjadi tidak stabil
- Menyukarkan mereka melakukan aktiviti seharian (seperti ketika menuruni tangga, duduk mencangkung atau mengangkat beban yang berat)
- Pergerakan lutut tersangkut dan tidak dapat digerakkan sepenuhnya
- Tidak selesa ketika berjalan
Rawatan Yang Perlu Dilakukan jika mempunyai simptom?
- Sekiranya mempunyai sejarah dan gejala kecederaan ACL, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa Pakar Ortopedik dengan segera.
- Pemeriksaan dan imbasan MRI akan dijalankan bagi mengesahkan kecederaan ACL tersebut.
- Rawatan kecederaan ACL boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu fisioterapi dan juga pembedahan.
Bagaimana prosedur penggantian ligament ACL dilakukan?
- Pembedahan penggantian ligamen ACL adalah dengan menggunakan kaedah artroskopi di mana beberapa hirisan kecil sahaja dilakukan di bahagian lutut dan ini dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka selepas pembedahan.
- Selepas pembedahan, mereka perlu menjalani sesi fisioterapi bagi menguatkan kembali otot-otot mereka bagi mendapatkan hasil rawatan yang optimum.
- Dengan teknologi terkini pembedahan boleh dilakukan secara artroskopi diikuti dengan sesi fisioterapi yang intensif. Kaedah rawatan kecederaan ligament ACL kini dapat dilakukan dengan lebih selamat dan berkesan.
INFO PENTING
Ligamen ACL yang koyak atau putus tidak akan berupaya untuk sembuh dengan sendirinya. Pesakit perlu menjalani pembedahan penggantian ligamen ACL untuk menstabilkan kembali lutut mereka. Ini bagi memastikan mereka akan dapat terus kekal aktif seperti sebelumnya.