Sakit Abdomen Antara Punca Keradangan Pundi Hempedu
Cholecystitis atau keradangan pundi hempedu merupakan masalah yang sering dihadapi penduduk Malaysia. Ia dikaitkan dengan peningkatan pengambilan makanan berlemak. Penyakit ini agak unik kerana ia boleh melibatkan tiga organ badan iaitu hati, pundi hempedu dan pankreas.
Antara sebab-sebab berlakunya Cholecystitis adalah batu karang (gall bladder stone) dimana ia merupakan penyebab utama iaitu antara 90-95% terjadinya keradangan pundi hempedu. Keradangan berlaku selepas batu karang tersebut menyebabkan salur hempedu tersumbat dan seterusnya jangkitan kuman.
Selain itu, keradangan pundi hempedu tanpa gall blader stone (acalculous cholecystitis) adalah jangkitan kepada pundi hempedu yang berlaku dikalangan pesakit yang mempunyai tahap immuniti yang rendah.
Penyakit Cholecystitis boleh dikenalpasti melalui beberapa simptom iaitu kesakitan pada bahagian abdomen tengah mahupun kanan, rasa mual atau loya selepas makan makanan berminyak, mengalami muntah dan demam, jaundice pada bahagian mata dan kulit serta perubahan pada warna najis iaitu berwarna tanah liat.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa kategori yang boleh diklasifikasikan sebagai penyumbang kepada penyakit ini ataupun golongan yang berisiko tinggi antaranya adalah mereka yang mempunyai sejarah dalam keluarga, golongan wanita, usia antara 30-50 tahun, masalah kegemukan atau pun obesiti, pemakanan yang berlemak, kurang melakukan aktiviti fizikal serta mereka yang menghidapi penyakit kencing manis.
Bagi pesakit sendiri, Normastura Sahri, berusia 35 tahun, mengakui tiada sebarang masalah kesihatan dialami sebelum ini dan menjalani kehidupan normal yang sihat seperti biasa namun pada pertengahan Februari 2020, beliau mengalami kesakitan pada bahagian atas dan kanan abdomen yang disifatkan sebagai pedih dan perit yang berterusan sehingga mengalami muntah dan mual namun tiada sebarang gejala demam mahu pun jaundice.
Beliau telah menjalani beberapa ujian klinikal seperti ujian darah dan ujian imbasan Ultrasound sebelum disahkan mengalami keradangan pada pundi hempedu (acute cholecystitis).
Demi menjamin kesejahteraan masyarakat, Yayasan MSU sekali lagi terpanggil untuk meringankan beban dan kesakitan yang ditanggung oleh Normastura dalam memberikan sokongan dari segi kewangan sekaligus membiayai kos rawatan dan pembedahan.
Terdapat dua kaedah perawatan yang boleh dilakukan bergantung kepada beberapa faktor tertentu samaada tanpa gejala dan pesakit yang bergejala.
Kebiasaannya 10-20% pesakit yang mempunyai batu karang dalam pundi hempedu tidak mengalami apa-apa gejala serta tiada rawatan khusus diperlukan.
Bagi pesakit yang bergejala, dibahagi kepada 2 kategori iaitu keradangan biasa dimana pesakit memerlukan rawatan antibiotic dan ubat penahan sakit serta berpuasa untuk mengurangkan keradangan atau inflamasi.
Manakala keradangan dengan komplikasi yang boleh berlaku seperti gangrene (dinding pundi hempedu mereput) dan kebocoran pada pundi hempedu. Ia juga memerlukan pembedahan segera disebabkan risiko kematian adalah tinggi.
Setiap kategori ini akan melalui kaedah perawatan yang berbeza bergantung kepada ujian darah dan ujian pemeriksaan ultrasound.
Di dalam kes ini, kaedah pembedahan Laparoscopic Cholecystectomy adalah yang terbaik dan operasi pembedahan telah berjalan selama hampir 1 jam dengan jayanya dikelolai oleh Dr. Mohd Zailani Mat Hassan (General & Colorectal surgeon).
Tidak pernah menduga kesakitan yang ditanggung bertukar serius, Normastura kini melalu fasa pemulihan dan telah mendapatkan rawatan susulan.
“Saya berasa terharu dan terkesan dengan keperihatinan dan kepakaran yang diberikan oleh pihak MSU Medical Centre khususnya kepada Yayasan MSU yang berbesar hati bagi membiayai segala kos rawatan dan pembedahan saya,”. Katanya.