Perawatan Neurokritikal
Perawatan neurokritikal adalah merupakan rawatan rapi ke atas pesakit-pesakit yang mengalami gangguan saraf yang serius yang memerlukan pemeriksaan dan penyiasatan sistem saraf yang lebih kerap dan terperinci.
Tujuan utama perawatan neurokritikal adalah untuk menghalang atau mengurangkan kerosakan pada otak ataupun saraf tunjang yang disebabkan oleh kecederaan, jangkitan kuman, gangguan pengaliran darah dan penyakit-penyakit lain.
Semasa perawatan neurokritikal, beberapa mesin sokongan seperti alat bantuan pernafasan dan mesin memantau tekanan darah, degupan jantung serta peratusan oksigen dan karbon dioksida disambungkan pada pesakit. Sekiranya pesakit mengalami bengkak otak, mesin untuk mengukur tekanan di dalam otak juga diperlukan untuk mengawal bengkak otak dari menjadi semakin teruk.
Antara pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan neurokritikal adalah:
- Kecederaan otak
- Kecederaan saraf tunjang
- Pendarahan otak
- Strok
- Jangkitan pada otak dan saraf tunjang
- Selepas pembedahan otak atau saraf tunjang