Gajet Dan Rabun Jauh Di Kalangan Kanak-kanak
Apakah itu Rabun Jauh?
Rabun jauh adalah keadaan di mana seseorang itu mengalami masalah kabur penglihatan mata apabila melihat objek pada jarak jauh. Ini boleh berlaku akibat kurang kuasa refraksi mata pada kornea, ataupun pada kanta di dalam mata
Siapakah yang terdedah kepada rabun jauh?
Sesiapa sahaja boleh mengalami rabun jauh, tetapi mereka yang mempunyai faktor keturunan contohnya kedua-dua ibu bapa mengalami rabun, atau adik beradik rabun maka dia ada risiko yang tinggi untuk mengalami rabun.
Apakah petanda-petanda rabun?
Bagi orang dewasa dan kanak-kanak yang sudah besar, mereka boleh mengadu penglihatan mata kabur dan susah untuk fokus ketika melihat. Tetapi bagi anak kecil, mereka ada kalanya tidak mengadu, atau tidak dapat fokus apabila ditunjukkan sesuatu objek yang kecil pada jarak jauh. Pening kepala juga boleh menjadi salah satu petanda awal rabun.
Bagi kanak-kanak berusia 7 tahun, pemeriksaan kesihatan di sekolah oleh Pasukan Sekolah dari Klinik Kesihatan yang terdiri daripada doktor-doktor dan jururawat-jururawat, dapat mengenal pasti kanak-kanak yang menghadapi masalah rabun.
Jika kuasa refraksi atau rabun terlalu teruk, kanak-kanak juga boleh mengalami juling dan posisi kepala atau mata tidak normal ketika mahu fokus terhadap sesuatu iaitu abnormal head postur. Kanak-kanak ini cuba untuk mencari posisi yang dapat membantunya mendapatkan penglihatan mata yang terbaik, dengan cara adaptasi ini.
Adakah rabun jauh ini satu masalah yang membimbangkan?
Myopia atau rabun jauh adalah salah satu masalah penglihatan mata yang menjadi epidemik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Peningkatan yang mendadak, terutamanya di Asia ini menjadikan ia adalah salah satu kebimbangan dalam sektor kesihatan masyarakat awam (public health), terutamanya dari 3 aspek penting:
- Peratusan kanak-kanak sekolah yang mengalami rabun jauh di negara-negara maju di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara seperti Singapura, Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Korea, telah dilaporkan meningkat semenjak 50-60 tahun yang lalu.1, 2 Di kawasan bandar, 80 hingga 90 peratus daripada pelajar-pelajar yang tamat sekolah menengah mengalami rabun jauh, dan 10 hingga 20 peratus darinya mengalami rabun jauh yang tinggi.
- WHO mengiktiraf bahawa rabun jauh yang tidak dirawat sepenuhnya (kurang rawatan atau tidak dirawat langsung) mampu menyebabkan seseorang itu mempunyai penglihatan yang tidak sempurna (visual impairment)
- Mereka yang mengalami rabun jauh yang tinggi berisiko mengalami komplikasi yang boleh membawa kebutaan, seperti saraf tertanggal (retinal detachment), yang tidak lagi boleh dirawat dengan kacamata atau kanta lekap.
Genetik atau faktor keturunan sememangnya didapati memainkan peranan penting dalam masalah rabun jauh ini. Faktor genetik ini dapat menjangka sama ada individu tersebut mendapat rabun jauh pada usia muda tetapi stabil sepanjang usia kanak-kanak, mendapat rabun jauh pada usia muda dan keadaan rabun yang semakin parah apabila usia meningkat, atau mendapat rabun jauh pada usia yang lebih tua.
Apakah faktor-faktor risiko rabun jauh?
Kajian ini turut menunjukkkan, faktor-faktor persekitaran didapati boleh mempengaruhi pembentukan rabun jauh dalam diri individu- individu , terutamanya bagi mereka yang mempunyai seorang atau dua orang ibu bapa yang rabun jauh.
Antara faktor risiko yang ditekankan adalah jumlah waktu seseorang individu itu berada di dalam rumah (bangunan), dan jumlah waktu yang dihabiskan untuk melakukan kerja pada jarak dekat.
Sebuah kajian di Sydney Australia, yang telah memeriksa lebih 4000 orang kanak-kanak selama tiga tahun mendapati, kanak-kanak yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah kurang berisiko mendapat rabun jauh.
Terdapat sesetengah penyelidik yang mengkaji, kemungkinan penurunan risiko ini disebabkan oleh kanak-kanak itu banyak melakukan aktiviti fizikal semasa di luar rumah. Tetapi kajian yang melihat kanak-kanak yang bermain aktif di dalam rumah (indoor), tidak mengalami pengurangan risiko rabun jauh. Salah satu kajian yang menyokong fakta ini adalah, kajian yang berkaitan bahan bernama dopamin di dalam retina mata iaitu lapisan saraf di dalam mata. Paras dopamin adalah paling tinggi pada waktu siang (suasana terang), dan rendah pada waktu malam, atau digelar perubahan diurnal. Paras dopamin yang tinggi adalah perlu untuk mengelakkan bola mata memanjang, kerana bola mata yang panjang sudah dikenalpasti sebagai penyebab rabun jauh.
Apabila seseorang individu itu terlalu banyak menghabiskan masa di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak yang asyik bermain permainan video dan alat peranti canggih, terdapat gangguan dalam paras hormon dopamin ini, dan menyebabkan pertumbuhan bola mata yang tidak terkawal.
Faedah berada di luar rumah untuk kesihatan mata ini juga adalah disebabkan cahaya yang terang di luar rumah, kecerahan (chromaticity) cahaya matahari pada waktu siang dan terdedah untuk mendapatkan khasiat vitamin D
Alat permainan video dan alat peranti penyumbang masalah rabun jauh?
Selain dari kurang bermain di luar rumah, penggunaan alat permainan video dan alat peranti yang tidak dikawal juga meningkatkan risiko rabun jauh kerana jarak fokus antara mata kanak-kanak dan alat-alat tersebut terlalu dekat, seperti yang disahkan dalam kajian ke atas 5052 orang kanak-kanak di Beijing, China.
Walaupun membaca buku pada jarak dekat juga memberi impak yang sama kepada mata, kanak-kanak yang membaca selalunya tidak mengambil masa terlalu lama berbanding bermain alat permainan video atau alat peranti.
Selain itu, apabila terlalu asyik bermain alat peranti, kanak-kanak juga sukar untuk mengambil waktu rehat daripada permainan tersebut, menyebabkan mata mereka terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan fokus secara berterusan, dan ini adalah satu lagi faktor peningkatan kes-kes rabun jauh di kalangan kanak-kanak.
Selain komplikasi rabun jauh akibat banyak melakukan kerja pada jarak dekat seperti menggunakan telefon pintar atau alat peranti, komplikasi lain penggunaan alat peranti yang terlalu lama termasuklah mata kering akibat kurang berkelip, kabur penglihatan jarak dekat dan jauh (accommodation spasm), sukar mendapatkan tidur yang berkualiti, gelisah apabila berjauhan dari alat komunikasi (anxiety), serta sakit bahagian leher (cervicalgia) dan jari jemari (tendinitis) akibat menghabiskan masa yang panjang dengan alat peranti .
Apakah yang berlaku pada kanta mata apabila mata kita melihat objek jauh dan dekat?
Kanta mata manusia adalah bersifat boleh berubah bentuk iaitu apabila melihat objek pada jarak dekat, ia akan berubah menjadi berbentuk cembung , dan apabila melihat sesuatu pada jarak jauh, ia menjadi nipis seperti di dalam grafik ini.
Bagi kanak-kanak yang terlalu banyak melihat objek pada jarak dekat, contohnya banyak menggunakan gajet, kanta mata akan selalu berada dalam keadaan cembung. Ini menyebabkan bola mata mendapat signal bahawa ia “sempit” dan memberitahu otak untuk membesar.
Seterusnya ia menyebabkan bola mata memanjang. Pemanjangan bola mata ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi rabun jauh.
Selain daripada rabun jauh, apakah kesan sampingan penggunaan gajet yang berlebihan pada kanak-kanak yang pernah doktor lihat pada pesakit doktor?
Ini adalah akibat terlalu banyak menggunakan mata untuk memandang pada jarak dekat, matanya letih & otot mata tidak dapat lagi menyatukan dua mata. Dia mendapat "convergence insufficiency".
Bagi mengurangkan risiko rabun jauh di kalangan kanak-kanak, Doktor menyarankan agar:
- Kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak dibenarkan langsung bermain dengan alat permainan video, telefon pintar, alat peranti dan sebagainya kerana mata mereka sedang berkembang dengan sangat pesat.
- Hadkan masa penggunaan alat peranti untuk anak-anak, sebaiknya kurang dari sejam sehari.
- Galakkan anak-anak bermain di luar rumah, bagi mendapatkan pencahayaan yang baik, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan mata anak-anak yang sedang berkembang
- Sekiranya anak-anak terpaksa melakukankan kerja pada jarak dekat dengan lama, contohnya membuat kerja sekolah, ibu bapa perlu memastikan ada waktu rehat bagi mata , iaitu 5 minit bagi setiap 30 hingga 40 minit waktu bekerja.
- Sekiranya sudah terlanjur memberikan anak-anak bermain dengan alat peranti dengan banyak, dan anak-anak mengadu sakit kepala, sukar untuk melihat atau menunjukkan prestasi yang merosot di sekolah, bawalah anak-anak untuk pemeriksaan mata yang lengkap dengan pakar mata di hospital dan klinik terdekat, secepat mungkin.
NOTA PENTING!
Disarankan bagi setiap 30 hingga 40 minit melakukan kerja yang memerlukan fokus pada jarak dekat, individu-individu patut mengambil masa beberapa minit untuk merehatkan mata, dengan melihat objek pada jarak jauh.